Followers

Monday, July 16, 2012

1M4U : Dana 100 juta oleh kerajaan untuk Belia



Kuala Lumpur: Kerajaan semalam mengumumkan penubuhan Dana Sukarelawan 1Malaysia (DRe1M) dengan peruntukan RM100 juta untuk kegiatan kesukarelawanan belia. Dana itu di bawah 1Malaysia For Youth (im4u) yang akan menjadi gerakan massa mengangkat martabat negara ke puncak kegemilangan. 

Gerakan im4u adalah gelombang besar-besaran belia yang membolehkan mereka tampil dengan tenaga, buah fikiran dan masa” - Najib Razak, Perdana Menteri
DRe1M bertujuan membiayai aktiviti sukarelawan berdasarkan minat belia, yang akan menyumbang kepada masyarakat dan negara melalui program seperti gotong-royong, sukan dan kelas tuisyen.

Mohon secara online

Belia yang berminat boleh memohon secara online kepada Jawatankuasa Petugas Khas yang akan mengendalikan DRe1M.

Sambil melaungkan ‘im4u’ bererti kerajaannya adalah kerajaan untuk belia di hadapan lebih 50,000 belia yang menghadiri majlis pelancarannya di Taman Esplanade, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam, Datuk Seri Najib Razak berkata, Barisan Nasional (BN) akan terus memperkasa belia negara ini. 
Perdana Menteri sendiri akan mempengerusikan Lembaga Pemegang Amanah im4u.

Tahun Sukarelawan Negara

Najib turut mengisytiharkan 2013 sebagai Tahun Sukarelawan Negara yang menekankan semangat menyumbang kepada masyarakat dan negara serta penubuhan stesen radio im4u, di samping pengedaran 100,000 helmet im4u kepada belia seluruh negara.

Katanya, stesen radio itu akan mengetengahkan bakat dan idea belia, sekali gus menyokong konsep dan platform im4u, kerana kerajaan mahu mendengar suara golongan itu yang disifatkannya penting untuk pembinaan sebuah negara bangsa.

“Kita akan melakukan yang terbaik untuk menjamin bahawa masa depan belia penuh dengan sinaran harapan dan gemilang kerana perjuangan kita hari ini meletakkan asas dan landasan ke arah kejayaan demi kejayaan,” katanya ketika berucap pada majlis bertemakan ‘Daripada Belia, Oleh Belia, Untuk Belia’.

Najib berkata, gerakan im4u adalah gelombang besar-besaran belia yang membolehkan mereka tampil dengan tenaga, buah fikiran dan masa untuk memanfaat masyarakat dan negara.

“Saya sebagai Perdana Menteri, ‘im4u, I am for the youth of today (saya adalah untuk anda, saya adalah untuk belia hari ini)’... dengan rakan saya anggota menteri dan pegawai kerajaan, kita semua akan menyumbang, membantu, memberi rangsangan dan insentif kepada sekalian supaya kita bergerak bersama atas semangat sukarelawan,” katanya.

Popular Posts