Followers

Showing posts with label MBM. Show all posts
Showing posts with label MBM. Show all posts

Monday, February 4, 2013

80 % pertubuhan belia tak aktif , boleh digantung - Shabery




PUTRAJAYA — Sebanyak 80 peratus atau 3,796 daripada lebih 4,000 pertubuhan belia tunggal di negara ini berpotensi untuk digantung atau dibatalkan kerana tidak aktif, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Katanya, mereka yang tidak bernaung di bawah mana-mana pertubuhan belia yang lebih kukuh misalnya di bawah Majlis Belia Malaysia, turut gagal mengemukakan penyata tahunan kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia.
Menurutnya, kebanyakan pertubuhan itu berkemungkinan ditubuhkan kerana ingin mengikut trend tanpa matlamat tertentu atau berharap untuk mendapat peruntukan secara automatik.
"Sebab itu kita rasa persatuan belia ini mesti mengemaskinikan kaedah-kaedah mereka secara inovatif dan dalam masa yang sama mereka juga mesti mengembangkan bukan sahaja nama mereka tetapi penjenamaan nama mereka mesti dibesarkan dan dikemaskini tujuannya (penubuhan)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, antara faktor yang menentukan kejayaan penubuhan sesuatu pertubuhan itu ialah pentadbiran, kepimpinan, wawasan, perancangan, pembahagian tugas, peruntukan kewangan, sokongan masyarakat dan semangat kesukarelawan.— BERNAMA

Tuesday, August 24, 2010

Sekitar Majlis Perundingan Belia Negara 2010




sumbangan peruntukan oleh kerajaan kepada NGO belia, MBM

ucapan oleh Sdr Maliki selaku Presiden MBM

Sdr Roslan Abd Rahim , Pengerusi GB4B PP sebagai wakil
dari MBN PP

Presiden GPMS Sdr Jais Karim



sumber : MBM


Putrajaya, 23 Ogos 2010 - Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sidang III Penggal 2009-2010 telah diadakan di Hotel Marriot Putrajaya. Majlis yang dirasmikan oleh YB. Menteri Belia dan Sukan Malaysia bermula pada jam 2 petang dan berakhir lewat jam 6 petang. Anggota persidangan turut diraikan dengan Majlis Berbuka Puasa sejurus tamat persidangan.

MBM dilantik sebagai Penolong Pendaftar Pemilih oleh SPR


KUALA LUMPUR 19 Ogos - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersetuju untuk melantik Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai Penolong Pendaftar Pemilih dalam usaha menarik golongan belia mendaftar sebagai pemilih.

Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said berkata, kerjasama itu tercetus hasil perjumpaan antara Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee dan beberapa wakil majlis tersebut dengan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof di Ibu Pejabat SPR, Putrajaya.

"Sebagai pengelola aktiviti belia di negara ini, MBM diharap dapat menambahkan jumlah warganegara yang layak untuk mendaftar sebagai pemilih.

"SPR yakin MBM boleh memainkan peranan yang berkesan kerana mempunyai rangkaian dengan belia-belia di peringkat negeri dan daerah di seluruh negara," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurut Sabri, rekod daftar pemilih SPR sehingga suku pertama tahun ini adalah 4,194,190 atau 37 peratus pemilih berdaftar adalah dalam kategori belia iaitu 21 hingga 40 tahun.

"Namun masih terdapat 4.3 juta atau 28 peratus warganegara yang berusia 21 tahun ke atas yang layak tetapi belum mendaftar sebagai pemilih," katanya.

Beliau berkata, MBM turut mengemukakan kertas cadangan bertajuk Program Pendidikan Masyarakat Mengenai Hak dan Tanggungjawab Mengundi di Kalangan Pemimpin Belia Tempatan kepada SPR.

Menurutnya, cadangan itu bertujuan membantu meningkatkan kesedaran golongan belia mengenai kepentingan mendaftar sebagai pemilih.

Tuesday, March 23, 2010

Majlis Belia Malaysia pelawa pelatih PLKN sertai belia


PDF Cetak E-mail

Active Image


Kuala Lumpur, 18 Mac 2010 - Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) merupakan salah satu program yang berjaya dalam mendidik serta melatih remaja lepasan SPM dalam menyiapkan diri dengan prinsip kenegaraan. Namun, ada segelintir bekas pelatih yang tamat latihan PLKN masih lagi mencari arah dalam menempatkan diri mereka ke dalam masyarakat. Melihat akan perkara tersebut, MBM mengambil inisiatif untuk mengadakan pertemuan dengan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) bagi membincangkan beberapa program bersama. Delegasi MBM seramai 8 orang ini diketuai sendiri oleh Presiden MBM, Sdr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee telah mengadakan kunjung hormat ke pejabat Ketua Pengarah JLKN.


Active Image

Thursday, January 7, 2010

Mantapkan perjuangan belia


Oleh : Nobisha

Hari ini Majlis Belia Malaysia (MBM) mengadakan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT). Persidangan dua hari ini akan memilih barisan kepimpinan baru untuk MBM. Memandangkan para perwakilan akan mengundi esok, saya tidak mahu membuat komentar mengenai calon-calon yang bertanding bagi pelbagai jawatan dalam MBM.

Sebagai bekas pemimpin MBM (saya pernah menjadi Setiausaha Agung, Naib Presiden, Exco dan Ahli Dewan Tertinggi), biarlah saya melihat saja anak-anak muda bertanding sesama mereka. Ada yang meminta pandangan dan saya telah memberikannya secara seorang dengan seorang. Terserahlah sama ada mereka hendak menerima atau tidak. Saya akan mengulas mengenai barisan kepimpinan baru ini hanya apabila keputusannya diketahui esok.

MBM mempunyai sejarah perjuangan yang cukup panjang. Bagaimanapun, saya bukan hendak menulis sejarah MBM di sini. Sekadar untuk menyebut bahawa MBM dan 40 buah badan gabungannya telah melahirkan ramai pemimpin negara dalam pelbagai bidang -- sama ada politik, ekonomi atau sosial.

Menyedari hal inilah maka saya tidak mahu menulis mengenai pemilihan kepimpinan MBM. Saya amat berharap di tengah-tengah musim pemilihan dan kempen yang semakin panas itu, perwakilan yang mewakili pelbagai pertubuhan belia dapat membahaskan isu-isu yang menyentuh kepentingan generasi muda. Amat malang sekiranya perhimpunan setahun sekali ini hanya digunakan untuk melobi jawatan.

Saya difahamkan ada perundingan jawatan. Eloklah kalau dapat sepakat. Bagaimanapun, sekiranya ada pertandingan pun tidak salah. Saya pernah bertanding sebagai Exco MBM dan menang. Saya pernah bertanding sebagai Naib Presiden MBM dan menang. Saya pernah bertanding sebagai Setiausaha Agung MBM dan menang dengan 10 undi saja. Hanya pada penggal kedua, saya menang tanpa bertanding sebagai Setiausaha Agung.

MPAT kali ini agak signifikan kerana ia diadakan selepas Akta Pembangunan dan Pertubuhan Belia 2007 diluluskan. Saya adalah merupakan Setiausaha kepada jawatankuasa yang diwujudkan bagi menderaf akta tersebut. Tentunya saya amat berhajat melihat akta itu membuahkan hasil seperti yang diharapkan.

Ada beberapa perkara penting dalam akta itu yang saya dan rakan-rakan perjuangkan dulu.

Pertama, meletakkan kedudukan MBM sebagai majlis belia kebangsaan bagi Malaysia (national youth council for Malaysia). Walaupun para peringkat permulaan ada pegawai-pegawai Kementerian Belia dan Sukan yang tidak mahu memasukkan peruntukan itu kerana kata mereka kerajaan sudah mengiktiraf MBM, akhirnya mereka akur. Saya masih ingat lagi bagaimana kami bertegang leher dengan Menteri Belia ketika itu, Dato' Seri Azalina Othman Said. Akhirnya Azalina mencabar kami untuk membuat akta sendiri untuk dibandingkan dengan deraf KBS. Kami sahut cabaran itu. Apakah implikasi kepada peruntukan ini? Bagi saya, ia memberikan MBM satu kedudukan rasmi untuk bercakap mewakili belia Malaysia sama ada di dalam atau luar negara.

Untuk menjadi jurucakap belia, MBM harus memahami denyut nadi generasi muda Malaysia. MBM tidak harus menjadi kelab ekslusif yang menjaga kepentingan ahli-ahli pergerakan belia sahaja, apatah lagi sekadar menjaga kepentingan pemimpin pertubuhan belia semata-mata. MBM harus berjuang untuk semua belia, sama ada mereka menganggotai persatuan belia atau tidak. Bilangan yang tidak menyertai persatuan belia jauh lebih ramai dan MBM harus mencari jalan untuk mendengar suara mereka.

Bagi memainkan peranan ini dengan baik, MBM harus terbuka dan telus. Manfaatkan wadah sedia ada untuk menyampaikan suara belia sama ada baik atau buruk kepada kerajaan. MBM harus melakukan representasi ini dengan jujur -- tanpa perlu menggula-gulakan pendapat generasi muda. Sekira MBM dapat memainkan peranan ini dengan baik, saya yakin kerajaan boleh melakukan intervensi sewajarnya bagi menentukan kepentingan dan kehendak generasi muda mendapat perhatian sewajarnya.

Kedua, akta ini juga menghadkan umur keanggotaan dan kepimpinan persatuan belia. Sebelum wujud akta ini, MBM telah mempunyai had umur kepimpinan. Hanya mereka yang berumur 40 tahun dan ke bawah dibenarkan menjadi pemimpin. Saya meninggalkan jawatan dalam MBM apabila melepasi had umur tersebut. Selain MBM, ada beberapa pertubuhan lagi seperti Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Young Malaysian Movement dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia yang ada had umur 40 tahun. Pindaan akta tersebut tidak memberikan kesan kepada persatuan-persatuan ini. Bagaimanapun, selepas akta ini dipinda saya melihat persatuan belia sudah melakukan peralihan kepimpinan. Pemimpin muda mengambilalih jawatan dalam Gerakan Belia 4B, GPMS dan MAYC (sekadar menyebut beberapa contoh).

Harapan saya ialah pemimpin-pemimpin muda ini hendaklah berjuang untuk semua anak-anak muda. Konsep "dari belia, untuk belia, kepada belia" hendaklah direalisasikan. Pemimpin belia bawah 40 tahun diharapkan tidak menjadi "tua" sebelum tua. Maksudnya, tidak menjadi lemah dan layu pada usia muda ini.

Selain itu, saya juga meminta kerajaan untuk menimbangkan cadangan saya terdahulu untuk menubuhkan Suruhanjaya Belia Kebangsaan (National Youth Commission) bagi menggantikan Kementerian Belia. Pengerusi dan anggota suruhanjaya ini hendaklah terdiri dari mereka di bawah usia 40 tahun agar selari dengan akta yang diwujudkan. Kalau pun ini tak dapat dilakukan, saya mencadangkan kepada Perdana Menteri akan melantikan menteri dan timbalan menteri di KBS bawah usia 40 tahun.

Saya kesal kerana saya pernah menulis surat kepada bekas Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta ada perwakilan belia bawah umur 40 tahun menduduki pelbagai suruhanjaya dan jawatankuasa peringkat kebangsaan, namun jawapan yang diterima mengecewakan. Sampai sekarang tidak ada anggota bawah umur 40 tahun dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia serta pelbagai suruhanjaya dan "advisory council" yang lain. Adakah anak muda kita tidak ada kemampuan?

Ketiga, akta ini juga menentukan bahawa pendaftaran pertubuhan belia dibuat di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), dan bukannya Pendaftar Pertubuhan (ROS) seperti sebelumnya. Sewaktu perbincangan deraf akta, saya membantah penubuhan ROY. Alasan saya mudah, KBS hendaklah bertindak sebagai pembimbing, bukannya "polis" kepada pergerakan belia. Peranan KBS lebih bersifat "delevopmental", bukannya "enforcement." Pegawai-pegawai kanan KBS memberikan jaminan bahawa mereka memahami apa yang saya sebutkan dan itu jugalah aspirasi mereka. Kalau begitu, baguslah. Saya akan memerhatikan dan menentukan ia dilakukan dengan betul seperti dijanjikan.

Sebagai langkah awal, saya ingin mencadangkan agar KBS dan Jabatan Belia dan Sukan tidak mengadakan aktiviti secara langsung. Berikan tugasan dan peruntukan melaksanakan aktiviti ini seluruhnya kepada semua pertubuhan belia (peringkat kebangsaan, negeri, daerah atau kampung). Biar mereka semarakkan aktiviti. Tugas KBS ialah pantau dan tentukan aktiviti-aktiviti ini memenuhi spesifikasi yang dipersetujui bersama. Pegawai KBS usahlah berebut hendak menganjurkan aktiviti dengan persatuan belia. Cukup mainkan peranan sebagai pembimbing seperti yang disebutkan terdahulu.

Tentunya, sebagai orang di luar gelanggang, saya hanya dapat memberikan pandangan. Saya sudah melaksanakan apa yang patut dilakukan. Sekarang terserahlah kepada kepimpinan baru MBM untuk meneruskan agenda perjuangan.

Sekiranya mereka inginkan pandangan, saya katakan bahawa perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mengkaji semula Dasar Belia Negara dan Dasar Pembangunan Belia Negara yang sudah lebih 20 tahun diperkenalkan, tanpa kajian semula (review). Rancangan Malaysia pun dikaji lima tahun sekali, tetapi dasar belia masih tidak berubah.

Saya pernah menghantar SMS kepada Menteri Belia ketika itu dan jawapan yang saya terima ialah beliau sedang meneliti dasar tersebut. Menteri Belia itu pun sudah bertukar kementerian. Saya tak pasti adakah Menteri Belia yang baru juga sedang meneliti dasar tersebut dan berapa lama lagikah masa yang diperlukan untuk "meneliti."

Inilah peranan yang harus dimainkan oleh MBM yang sebenarnya bukan sebuah pertubuhan belia; lebih dari itu ia adalah "majlis belia bagi Malaysia." Fahami hasrat ini dan teruskan perjuangan!

Wednesday, January 6, 2010

MBM perlu teguh sokong kerajaan


KUALA LUMPUR 6 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak meminta seluruh kepimpinan baru Majlis Belia Malaysia (MBM) yang bakal dibentuk Jumaat ini supaya terus memberi sokongan padu kepada kerajaan.

Perdana Menteri berkata, langkah itu adalah selaras dengan pendirian kerajaan pada hari ini yang sentiasa menyokong serta membantu perjuangan golongan belia di negara ini.

"Dalam masa 36 jam lagi akan berlaku pemilihan dalam MBM dan ramai di kalangan kepimpinan sedia ada yang akan bergelar mantan, tetapi saya percaya ini merupakan evolusi dalam hidup.

"Saya harap yang baru akan ikut jejak langkah Presiden sedia ada dan mantan-mantan sebelum ini yang masih setia dengan kerajaan.

"Saya senang hati melihat hubungan gerakan belia dengan kerajaan sejak dahulu sehingga sekarang," katanya ketika berucap melancarkan Pertubuhan Alumni MBM dan merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MBM Ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini malam ini.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Presiden MBM, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Pemilihan pada perhimpunan selama tiga hari sehingga Jumaat ini dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi jawatan Presiden MBM.

Individu yang disebut-sebut bertanding ialah Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO yang juga bekas Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Presiden Majlis Belia Pulau Pinang, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Belia 4B, Shukor Mohd. Yusof.

Dalam pada itu, Najib berkata, penubuhan Pertubuhan Alumni MBM adalah langkah terbaik bagi memberi peluang kepada pemimpin badan itu yang melebihi had umur 40 tahun untuk meneruskan perjuangan mereka.

Wednesday, December 30, 2009

Ekspedisi 1 Belia 1 Malaysia pupuk semangat patriotisme


KUALA LUMPUR 28 Dis. - Sebanyak 30 kereta yang melibatkan 80 peserta terdiri daripada golongan belia dari seluruh negara menyertai Ekspedisi 1Belia 1Malaysia selama enam hari bermula hari ini.

Ekspedisi anjuran Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Belia Malaysia (MBM) itu yang melibatkan 10 negeri bermula di Hotel Palace Of The Golden Horses di Seri Kembangan di sini dan akan berakhir di Lenggong, Perak.

Ketua Ekspedisi, Hasmadi Md. Yatim berkata, program jelajah Malaysia bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan belia terhadap gagasan kerajaan ke arah melahirkan generasi belia yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.

Katanya, setiap destinasi yang disinggahi turut diadakan pelbagai aktiviti bersama Majlis Belia Negeri di samping mempromosikan logo 1Belia 1Malaysia.

"Kita akan melaksanakan pelbagai aktiviti menarik sepanjang ekspedisi itu seperti acara sukaneka, pengedaran cenderahati, risalah, pelekat dan poster berkaitan belia.

"Acara sambutan hanya diadakan di Semenanjung disebabkan faktor geografi menyukarkan kami ke Sabah dan Sarawak," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelepasan konvoi itu yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Sebelum itu, Ahmad Shabery mempengerusikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara 2009/2010 di hotel yang sama.

Menurut Hasmadi, antara objektif lain ekspedisi itu adalah memberi pendidikan dan maklumat berguna kepada golongan belia melalui program yang dijalankan dan meningkatkan kesedaran pentingnya perpaduan di kalangan belia negara ini.

"Diharapkan pendekatan dan pengisian yang digunakan ini dapat memberi makna kepada para peserta dan belia seluruh negara untuk menanam sifat jati diri, cinta pada negara dan bekerjasama ke arah melahirkan generasi muda 1Belia 1Malaysia," tambahnya.

Katanya, ekspedisi itu akan berakhir di Lenggong 2 Januari ini selepas singgah di berapa destinasi utama seperti Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka; Kemaman, Terengganu; Tanjung Malim, Perak dan Kangar, Perlis.

Monday, December 21, 2009

Persidangan Belia Meneroka Masa Depan 18- 20 Disember 2009 di Langkawi





bergambar kenangan di Chandek Kura Hotel




Exco Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang
Yb Pn Ong Kok Fooi hadir pada Majlis Perasmian

Kak Nora ,Anuar dan Faizal menjamu selera
ketika waktu rehat
.




Sdr Zaidi Abd Aziz dari Majlis Belia Malaysia
menyampaikan ceramah Halatuju Belia
Malaysia : Membentuk negara bangsa


Prof Turiman Suandi dari UPM menyampaikan
ceramah Urustadbir & Keberkesanan Pertubuhan
Belia Malaysia


Sifu Belia di Pulau Pinang iaitu Uncle Sulaiman
Bin Abdullah dari IKBN Bukit Mertajam
yang menyampaikan ceramahnya Peranan
& Skop kerja dalam organisasi sukarela

Cik Zakiah dari Yayasan Salam antara penceramah
yang membuatkan dewan gamat seketika dengan gelak
ketawa peserta yang mengikuti cerita dan
pengalaman beliau dalam kerja sukarela


wakil dari HYO juga turut mengikuti persidangan ini



Sdr Anuar ,Kak Nora dan Faizal khusyuk mengikuti
ceramah


Ceramah bertajuk Belia Meneroka Masa Depan
oleh Presiden Majlis Belia Negeri PP
Sdr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee

Barisan kepimpinan Majlis Belia Negeri

Abg Marzuki selaku ketua peserta persidangan
menerima sijil dari Presiden MBN


Pada 18hb Disember - 20 Disember ,Gerakan Belia 4B Prmtg Pauh menyertai Persidangan Belia Meneroka Masa Depan anjuran Majlis Belia Negeri Pulau Pinang. Persidangan ini diadakan bertujuan untuk memberikan input berkenaan kepimpinan, pengurusan dan perhubungan kepada kepimpinan belia baik di peringkat daerah mahupun cawangan .

Persidangan selama 3 hari di Hotel Chandek Kura ini dihadiri oleh 82 orang peserta dari beberapa persatuan di bawah MBN iaitu Gerakan Belia 4B , GPMS , Puteri Islam , St John , HYO , Kelab Bell Belia Tamil , Majlis Belia Daerah dan lain -lain . Fokus utama kriteria peserta untuk persidangan ini ialah pemimpin -pemimpin yang berjawatan penting dalam pertubuhan belia samada di peringkat daerah mahupun cawangan.

Selama 3 hari menghadiri persidangan ini, banyak input dan pengetahuan serta pengalaman diperolehi yang mana ia boleh diaplikasi di dalam organisasi Gerakan Belia 4B di kawasan mahupun di cawangan. Belia sebenarnya adalah sebuah entiti utama yang berperanan sebagai pelapis kepada kepimpinan negara dan juga penggerak kepada masyarakat keseluruhannya. Di atas bahu belialah diberikan tanggujawab untuk melaksanakan perpaduan dan mengekalkan keharmonian kaum di dalam negara kita. Jadilah seorang belia yang berguna dan berjasa kepada masyarakat dan negara.


Unit Media GB4B Prmtg Pauh
Hotel Chandek Kura , Langkawi

Konsep 3K pacu belia ke Wawasan 2020


YO!: Wawancara


Ada 13 tahun saja lagi. Apabila dicampur angka itu dengan tahun 2007, bermakna Malaysia akan mencapai gagasan Negara iaitu Wawasan 2020. Satu pihak melihat 13 tahun masih lama, tetapi satu pihak lagi menganggap tempoh tersebut sebenarnya pendek. Alasannya ialah ‘pejam celik pejam celik’ (siang berganti malam) tahun 2020 sudah agak dekat. Masalahnya, adakah seluruh warga Malaysia terutama generasi muda benar-benar mampu untuk berdepan dengan era 2020 yang persaingannya ternyata lebih kompleks. Malaysia kini mempunyai kira-kira 11 juta rakyat berstatus belia. Namun begitu, Cuma kira-kira tiga juta sahaja yang menganggotai organisasi belia.

Kira-kira tiga juta orang belia berpersatuan itu pula, mereka dipayungi oleh satu organisasi besar iaitu Majlis Belia Malaysia (MBM). Kali ini wartawan YO!, Bazli Abdul Rahman menemu bual Presiden MBM, Dato’ Shamsul Anuar Hj. Nasarah bagi mengetahui sejauh manakah persediaan belia untuk mendepani tahun 2020.


Yo!: Daripada 11 juta belia, Cuma tiga juta berpersatuan. Bagaimana MBM boleh membentuk lapan juta orang lagi?

Shamsul : Saya akui perangkaan itu. Sebenarnya adalah mustahil semua 11 juta belia (berumur 15 hingga 40 tahun) yang ada di negara ini akan berpersatuan secara aktif. Lainlah jika ada satu undang-undang yang mewajibkan setiap belia mesti berpersatuan. Sekarang cuma 3 juta golongan muda menyertai 40 organisasi belia manakala lapan juta lagi kedudukannya secara berterabur. Maksud berterabur itu ialah daripada lapan juta sebahagian besar masih di bangku sekolah menengah, di institut pengajian tinggi (IPT) termasuk universiti manakala yang lain sudah bekerja. Penuntut IPT pula tidak boleh aktif berpersatuan belia kerana terikat dengan akta universiti. Walaupun mereka (pelajar, penuntut IPT dan belia yang berkerja) tidak boleh terlibat secara langsung dengan program MBM tetapi yang penting bagi kami ialah mereka tahu MBM menyediakan program pembangunan untuk mereka sebagai kumpulan sasar.

Yo!: Tahun 2020 kian hampir. Bagaimana cara MBM mendekatkan diri dengan belia demi memacu mereka untuk mencapai Wawasan 2020?

Shamsul: Banyak cara yang telah kita laksanakan. Antaranya ialah MBM memberi tumpuan kepada konsep 3K iaitu Kepimpinan, Kemahiran dan Keusahawanan. Konsep 3K itu pula MBM pecahkan kepada lima bahagian iaitu ilmu pengetahuan, masalah sosial dan dadah, memasyarakatkan gerakan belia, mengantarabangsa belia dan keahlian pertubuhan belia. Untuk mendampingi mereka kita mengambil pendekatan yang bersifat matang dan global. MBM sentiasa memahami kehendak dan cita rasa orang muda yang telah berubah. Kita tidak boleh lagi menggunakan budaya lama. Contohnya, dulu orang muda mudah dipanggil ke dewan sivik di kampung bagi mendengar ceramah. Kini, amalan lama itu sudah tidak digemari lagi. Belia mahu ke program yang menyeronokkan seperti aktiviti bersukan dan ada unsur hiburan. Menerusi program sebegitu barulah MBM dapat kumpulkan mereka, kemudian kita selit atau tanamkan semangat memajukan diri dan negara. Secara tidak langsung kita dapat jadikan belia sebagai tonggak utama pembangunan Malaysia.
Yo!: Kenapa MBM tidak menggunakan cara pembangunan belia negara lain seperti di Eropah sebagai contoh di Malaysia?

Shamsul: Kita mahu majukan Malaysia mengikut acuan sendiri. Sebab itulah kita tidak meniru bulat-bulat pendekatan yang digunakan di sesetengah negara. Sebenarnya, gerakan belia di Malaysia berbeza dengan di Amerika Syarikat, Afrika dan Filipina. Organisasi belia kita bukan tidak kuat, tetapi ada perbezaannya apabila dibandingkan dengan di negara-negara yang saya sebutkan tadi. Ini kerana organisasi belia di sini memiliki pemimpin yang terdiri dari individu yang kuat bekerja, termasuk dalam kabinet sendiri. Dalam kesempatan ini saya menyeru supaya orang muda mestilah faham bahawa mereka sekarang sudah menjadi ’pemain terbaik’ untuk mencapai Wawasan 2020 nanti.

Yo!: Bagaimana pula cara pelaksanaan 3K MBM?

Shamsul: Dalam aspek keusahawanan, kami bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Menerusi kerjasama itu, MBM memperjelaskan buat orang muda mengenai peluang perniagaan, peluang mendapat kemahiran dan peluang memperoleh pinjaman yang disediakan oleh kementerian berkaitan. Pada masa yang sama MBM mengambil pendekatan memaklumkan kepada belia bahawa peluang perniagaan bukan hanya berkisar di Malaysia sahaja. Pasaran global juga perlu mereka beri perhatian, terutama ke China, India dan Vietnam. Kita kena ingat bahawa pembangunan di tiga negara itu sedang melonjak yang secara tidak langsung ia turut memberi kesan kepada pembangunan di negara ini sendiri. Berteraskan kepada kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu juga MBM mahu melahirkan lebih ramai usahawan peringkat rendah termasuk menjelaskan kepada belia mengenai fungsi Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (CIDB). Dalam aspek kepimpinan pula, MBM sentiasa melatih anak muda untuk diberikan kefahaman tentang kepimpinan yang tulen. Bagi mencapai matlamat itu, kami kenalah merapati mereka menerusi pertemuan seperti forum dan mengedarkan risalah bermaklumat. Pada masa yang sama, MBM juga memberikan penekanan secara lebih serius untuk memastikan belia kita sentiasa memiliki pengetahuan yang berganda. Pengetahuan itu termasuklah berhubung bahayanya pelbagai gejala sosial terutama penyalahgunaan dadah.

sumber : Majlis Belia Malaysia

Popular Posts