Followers

Saturday, November 7, 2009

MARA anjur Karnival Mega Jualan bantu usahawan Bumiputra



KEPALA BATAS - Dalam usaha meningkatkan promosi dan pasaran bagi produk keluaran usahawan Bumiputera tempatan, Majlis Amanah Rakyat (Mara) negeri bakal menganjurkan Karnival Mega Jualan Peringkat Daerah dan Negeri setiap tahun di lokasi yang strategik seluruh negeri.

Pengarahnya, Ramli Deraman berkata, pihaknya mendapati kebanyakan usahawan Bumiputera di negeri ini yang tidak mempunyai pasaran yang sesuai untuk menjual produk keluaran mereka terpaksa menunggu di premis perniagaan masing-masing sahaja.

Menurutnya, hasilnya mereka tidak mampu untuk melariskan jualan dan sekali gus menjejaskan pendapatan usahawan Bumiputera.

“Selaras dengan itu, kita menganjurkan karnival ini bagi mewujudkan ruang pasaran untuk usahawan Bumiputera ini.

“Karnival jualan yang bertemakan Jualan Runcit, Harga Borong, bukan sahaja menjadi platform strategik kepada usahawan dalam melariskan jualan produk tempatan malahan memberi peluang kepada kita dalam memperkenalkan produk keluaran tempatan kepada rakyat tempatan dan asing,” katanya.

Ramli berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau persiapan karnival di kawasan Taman Bertam Indah, kelmarin.

Menurutnya, pada tahun ini Mara menganjurkan Karnival Mega di dua lokasi yang strategik iaitu di Bandar Perda, Bukit Mertajam dan Bayan Lepas di kawasan pulau yang mencatatkan jualan produk yang memberangsangkan.

“Karnival ketiga bagi peringkat negeri akan diadakan di perkarangan Smart Auto di Taman Bertam Indah selama tiga hari bermula 6 hingga 8 November ini yang membuka peluang kepada 80 usahawan Bumiputera.

“Karnival ini bakal dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin dan sebahagian besar peserta terbabit adalah pengeluar produk ubat-ubatan berasakan herba di samping jualan pelbagai produk tempatan lain,” katanya.

Menurutnya, karnival di lokasi itu dijangka mendapat sambutan menggalakkan terutama daripada penduduk di beberapa taman perumahan termasuk Bertam Perdana, Bertam Putra dan Bertam Indah.

“Mara melantik Tunas Indah Niaga Enterprise sebagai jawatankuasa penyelaras dan pengurusan karnival ini.

“Dalam usaha menarik pengunjung ke karnival ini, kami telah menyediakan pelbagai acara menarik termasuk acara cabutan bertuah, persembahan hiburan dan kebudayaan, pameran kereta dan motor antik, motosikal antik dan pertandingan memasak serta persembahan kartun animasi Upin dan Ipin,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pengunjung yang membeli produk bernilai RM10 akan diberi satu kupon untuk layak menyertai cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah motosikal dan hadiah lain berupa pelbagai barangan elektrik.

Sementara itu, Pengurus Tunas Niaga Enterprise, Zaini Abu Hassan, berkata, produk usahawan terbabit dijangka mendapat pasaran menggalakkan kerana sudah memasuki pasaran tempatan.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts