Followers

Thursday, January 7, 2010

Mantapkan perjuangan belia


Oleh : Nobisha

Hari ini Majlis Belia Malaysia (MBM) mengadakan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT). Persidangan dua hari ini akan memilih barisan kepimpinan baru untuk MBM. Memandangkan para perwakilan akan mengundi esok, saya tidak mahu membuat komentar mengenai calon-calon yang bertanding bagi pelbagai jawatan dalam MBM.

Sebagai bekas pemimpin MBM (saya pernah menjadi Setiausaha Agung, Naib Presiden, Exco dan Ahli Dewan Tertinggi), biarlah saya melihat saja anak-anak muda bertanding sesama mereka. Ada yang meminta pandangan dan saya telah memberikannya secara seorang dengan seorang. Terserahlah sama ada mereka hendak menerima atau tidak. Saya akan mengulas mengenai barisan kepimpinan baru ini hanya apabila keputusannya diketahui esok.

MBM mempunyai sejarah perjuangan yang cukup panjang. Bagaimanapun, saya bukan hendak menulis sejarah MBM di sini. Sekadar untuk menyebut bahawa MBM dan 40 buah badan gabungannya telah melahirkan ramai pemimpin negara dalam pelbagai bidang -- sama ada politik, ekonomi atau sosial.

Menyedari hal inilah maka saya tidak mahu menulis mengenai pemilihan kepimpinan MBM. Saya amat berharap di tengah-tengah musim pemilihan dan kempen yang semakin panas itu, perwakilan yang mewakili pelbagai pertubuhan belia dapat membahaskan isu-isu yang menyentuh kepentingan generasi muda. Amat malang sekiranya perhimpunan setahun sekali ini hanya digunakan untuk melobi jawatan.

Saya difahamkan ada perundingan jawatan. Eloklah kalau dapat sepakat. Bagaimanapun, sekiranya ada pertandingan pun tidak salah. Saya pernah bertanding sebagai Exco MBM dan menang. Saya pernah bertanding sebagai Naib Presiden MBM dan menang. Saya pernah bertanding sebagai Setiausaha Agung MBM dan menang dengan 10 undi saja. Hanya pada penggal kedua, saya menang tanpa bertanding sebagai Setiausaha Agung.

MPAT kali ini agak signifikan kerana ia diadakan selepas Akta Pembangunan dan Pertubuhan Belia 2007 diluluskan. Saya adalah merupakan Setiausaha kepada jawatankuasa yang diwujudkan bagi menderaf akta tersebut. Tentunya saya amat berhajat melihat akta itu membuahkan hasil seperti yang diharapkan.

Ada beberapa perkara penting dalam akta itu yang saya dan rakan-rakan perjuangkan dulu.

Pertama, meletakkan kedudukan MBM sebagai majlis belia kebangsaan bagi Malaysia (national youth council for Malaysia). Walaupun para peringkat permulaan ada pegawai-pegawai Kementerian Belia dan Sukan yang tidak mahu memasukkan peruntukan itu kerana kata mereka kerajaan sudah mengiktiraf MBM, akhirnya mereka akur. Saya masih ingat lagi bagaimana kami bertegang leher dengan Menteri Belia ketika itu, Dato' Seri Azalina Othman Said. Akhirnya Azalina mencabar kami untuk membuat akta sendiri untuk dibandingkan dengan deraf KBS. Kami sahut cabaran itu. Apakah implikasi kepada peruntukan ini? Bagi saya, ia memberikan MBM satu kedudukan rasmi untuk bercakap mewakili belia Malaysia sama ada di dalam atau luar negara.

Untuk menjadi jurucakap belia, MBM harus memahami denyut nadi generasi muda Malaysia. MBM tidak harus menjadi kelab ekslusif yang menjaga kepentingan ahli-ahli pergerakan belia sahaja, apatah lagi sekadar menjaga kepentingan pemimpin pertubuhan belia semata-mata. MBM harus berjuang untuk semua belia, sama ada mereka menganggotai persatuan belia atau tidak. Bilangan yang tidak menyertai persatuan belia jauh lebih ramai dan MBM harus mencari jalan untuk mendengar suara mereka.

Bagi memainkan peranan ini dengan baik, MBM harus terbuka dan telus. Manfaatkan wadah sedia ada untuk menyampaikan suara belia sama ada baik atau buruk kepada kerajaan. MBM harus melakukan representasi ini dengan jujur -- tanpa perlu menggula-gulakan pendapat generasi muda. Sekira MBM dapat memainkan peranan ini dengan baik, saya yakin kerajaan boleh melakukan intervensi sewajarnya bagi menentukan kepentingan dan kehendak generasi muda mendapat perhatian sewajarnya.

Kedua, akta ini juga menghadkan umur keanggotaan dan kepimpinan persatuan belia. Sebelum wujud akta ini, MBM telah mempunyai had umur kepimpinan. Hanya mereka yang berumur 40 tahun dan ke bawah dibenarkan menjadi pemimpin. Saya meninggalkan jawatan dalam MBM apabila melepasi had umur tersebut. Selain MBM, ada beberapa pertubuhan lagi seperti Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Young Malaysian Movement dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia yang ada had umur 40 tahun. Pindaan akta tersebut tidak memberikan kesan kepada persatuan-persatuan ini. Bagaimanapun, selepas akta ini dipinda saya melihat persatuan belia sudah melakukan peralihan kepimpinan. Pemimpin muda mengambilalih jawatan dalam Gerakan Belia 4B, GPMS dan MAYC (sekadar menyebut beberapa contoh).

Harapan saya ialah pemimpin-pemimpin muda ini hendaklah berjuang untuk semua anak-anak muda. Konsep "dari belia, untuk belia, kepada belia" hendaklah direalisasikan. Pemimpin belia bawah 40 tahun diharapkan tidak menjadi "tua" sebelum tua. Maksudnya, tidak menjadi lemah dan layu pada usia muda ini.

Selain itu, saya juga meminta kerajaan untuk menimbangkan cadangan saya terdahulu untuk menubuhkan Suruhanjaya Belia Kebangsaan (National Youth Commission) bagi menggantikan Kementerian Belia. Pengerusi dan anggota suruhanjaya ini hendaklah terdiri dari mereka di bawah usia 40 tahun agar selari dengan akta yang diwujudkan. Kalau pun ini tak dapat dilakukan, saya mencadangkan kepada Perdana Menteri akan melantikan menteri dan timbalan menteri di KBS bawah usia 40 tahun.

Saya kesal kerana saya pernah menulis surat kepada bekas Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta ada perwakilan belia bawah umur 40 tahun menduduki pelbagai suruhanjaya dan jawatankuasa peringkat kebangsaan, namun jawapan yang diterima mengecewakan. Sampai sekarang tidak ada anggota bawah umur 40 tahun dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia serta pelbagai suruhanjaya dan "advisory council" yang lain. Adakah anak muda kita tidak ada kemampuan?

Ketiga, akta ini juga menentukan bahawa pendaftaran pertubuhan belia dibuat di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), dan bukannya Pendaftar Pertubuhan (ROS) seperti sebelumnya. Sewaktu perbincangan deraf akta, saya membantah penubuhan ROY. Alasan saya mudah, KBS hendaklah bertindak sebagai pembimbing, bukannya "polis" kepada pergerakan belia. Peranan KBS lebih bersifat "delevopmental", bukannya "enforcement." Pegawai-pegawai kanan KBS memberikan jaminan bahawa mereka memahami apa yang saya sebutkan dan itu jugalah aspirasi mereka. Kalau begitu, baguslah. Saya akan memerhatikan dan menentukan ia dilakukan dengan betul seperti dijanjikan.

Sebagai langkah awal, saya ingin mencadangkan agar KBS dan Jabatan Belia dan Sukan tidak mengadakan aktiviti secara langsung. Berikan tugasan dan peruntukan melaksanakan aktiviti ini seluruhnya kepada semua pertubuhan belia (peringkat kebangsaan, negeri, daerah atau kampung). Biar mereka semarakkan aktiviti. Tugas KBS ialah pantau dan tentukan aktiviti-aktiviti ini memenuhi spesifikasi yang dipersetujui bersama. Pegawai KBS usahlah berebut hendak menganjurkan aktiviti dengan persatuan belia. Cukup mainkan peranan sebagai pembimbing seperti yang disebutkan terdahulu.

Tentunya, sebagai orang di luar gelanggang, saya hanya dapat memberikan pandangan. Saya sudah melaksanakan apa yang patut dilakukan. Sekarang terserahlah kepada kepimpinan baru MBM untuk meneruskan agenda perjuangan.

Sekiranya mereka inginkan pandangan, saya katakan bahawa perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mengkaji semula Dasar Belia Negara dan Dasar Pembangunan Belia Negara yang sudah lebih 20 tahun diperkenalkan, tanpa kajian semula (review). Rancangan Malaysia pun dikaji lima tahun sekali, tetapi dasar belia masih tidak berubah.

Saya pernah menghantar SMS kepada Menteri Belia ketika itu dan jawapan yang saya terima ialah beliau sedang meneliti dasar tersebut. Menteri Belia itu pun sudah bertukar kementerian. Saya tak pasti adakah Menteri Belia yang baru juga sedang meneliti dasar tersebut dan berapa lama lagikah masa yang diperlukan untuk "meneliti."

Inilah peranan yang harus dimainkan oleh MBM yang sebenarnya bukan sebuah pertubuhan belia; lebih dari itu ia adalah "majlis belia bagi Malaysia." Fahami hasrat ini dan teruskan perjuangan!

No comments:

Post a Comment

Popular Posts