Followers

Saturday, March 20, 2010

MBM bantah penubuhan Majlis Perundingan Kelab Rakan Muda Kebangsaan


BUKIT MERTAJAM 16 Mac - Majlis Belia Malaysia (MBM) membantah cadangan penubuhan Majlis Perundingan Kelab Rakan Muda Kebangsaan kerana ia dilihat bertindih dengan fungsinya sebagai badan induk pengurusan belia.

Presidennya, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, penubuhan majlis itu oleh Kementerian Belia dan Sukan juga tidak selari dengan peranan MBM yang diiktiraf kerajaan dalam menjalankan aktiviti belia secara sukarela.

Menurutnya, Rakan Muda ditubuhkan pada tahun 1994 sebagai program gaya hidup yang bermatlamat mengatasi masalah lepak di kalangan belia yang tidak gemar menyertai persatuan-persatuan tertentu.

''Bagaimanapun, selepas 16 tahun penubuhannya, ia tidak relevan untuk didaftarkan sebagai satu entiti baru kepada belia kerana kita sudah ada MBM yang telah wujud sejak 62 tahun lalu.

''Kita tak mahu ada konflik di kalangan pemimpin belia sekiranya wujud dua entiti untuk belia selain menimbulkan masalah di kalangan ahli belia sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Citra Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam di sini yang disertai 150 pelajar dari tujuh buah sekolah sekitar negeri ini.

Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini mengumumkan hasrat untuk menubuhkan Majlis Perundingan Kelab Rakan Muda Kebangsaan dan dijangka dilancarkan secara rasmi selepas sambutan Hari Belia pada 31 Mei nanti.

Sebelum ini penubuhan majlis perundingan itu turut dibantah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang mendakwa ia tidak selari dengan aspirasi bagi melahirkan aktivis belia yang berjiwa sukarela.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts