KUALA LUMPUR 28 Dis. - Sebanyak 30 kereta yang melibatkan 80 peserta terdiri daripada golongan belia dari seluruh negara menyertai Ekspedisi 1Belia 1Malaysia selama enam hari bermula hari ini.
Ekspedisi anjuran Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Belia Malaysia (MBM) itu yang melibatkan 10 negeri bermula di Hotel Palace Of The Golden Horses di Seri Kembangan di sini dan akan berakhir di Lenggong, Perak.
Ketua Ekspedisi, Hasmadi Md. Yatim berkata, program jelajah Malaysia bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan belia terhadap gagasan kerajaan ke arah melahirkan generasi belia yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.
Katanya, setiap destinasi yang disinggahi turut diadakan pelbagai aktiviti bersama Majlis Belia Negeri di samping mempromosikan logo 1Belia 1Malaysia.
"Kita akan melaksanakan pelbagai aktiviti menarik sepanjang ekspedisi itu seperti acara sukaneka, pengedaran cenderahati, risalah, pelekat dan poster berkaitan belia.
"Acara sambutan hanya diadakan di Semenanjung disebabkan faktor geografi menyukarkan kami ke Sabah dan Sarawak," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelepasan konvoi itu yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Sebelum itu, Ahmad Shabery mempengerusikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara 2009/2010 di hotel yang sama.
Menurut Hasmadi, antara objektif lain ekspedisi itu adalah memberi pendidikan dan maklumat berguna kepada golongan belia melalui program yang dijalankan dan meningkatkan kesedaran pentingnya perpaduan di kalangan belia negara ini.
"Diharapkan pendekatan dan pengisian yang digunakan ini dapat memberi makna kepada para peserta dan belia seluruh negara untuk menanam sifat jati diri, cinta pada negara dan bekerjasama ke arah melahirkan generasi muda 1Belia 1Malaysia," tambahnya.
Katanya, ekspedisi itu akan berakhir di Lenggong 2 Januari ini selepas singgah di berapa destinasi utama seperti Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka; Kemaman, Terengganu; Tanjung Malim, Perak dan Kangar, Perlis.
No comments:
Post a Comment