Followers

Wednesday, December 9, 2009

Mohd. Ali lepaskan jawatan Presiden Gerakan 4B Malaysia



MELAKA 8 Dis. - Datuk Seri Mohd. Ali Rustam akan melepaskan jawatan Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia yang disandangnya sejak 15 tahun lalu pada Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan pertubuhan itu di sini dari 20 hingga 22 Disember ini.

Mohd. Ali yang juga Ketua Menteri Melaka akan melepaskan jawatan yang disandangnya sejak Disember 1994 bagi merealisasikan peralihan pucuk pimpinan baru kepada belia berusia bawah 40 tahun.

Pengerusi Gerakan Belia 4B Malaysia Negeri Melaka, Mohd. Nizam Omar berkata, Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan kali ini akan menyaksikan peralihan kuasa 15 jawatan penting termasuk Presiden di kalangan perwakilan belia berusia bawah 40 tahun.

Menurut beliau, peralihan itu adalah sejajar mengikut garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi Gerakan Belia 4B Malaysia dan Pejabat Pertubuhan Belia, Kementerian Belia dan Sukan (ROY).

''Mengikut Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia Negara bermula Disember 2007, setiap ahli dan pemimpin belia yang dilantik diwajibkan berusia di bawah 40 tahun.

''Ini bertujuan memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin muda mentadbir pertubuhan belia khasnya Gerakan Belia 4B yang mempunyai ahli seramai 500,000 orang di seluruh negara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mesyuarat selama tiga hari itu akan dihadiri seramai 500 perwakilan dari seluruh negara dan dijadual dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Menurut Mohd. Nizam, sebelum ini, keahlian dan pemimpin yang dilantik sama ada di peringkat daerah, negeri dan pusat tidak ada had umur tertentu.

Sehubungan itu, katanya, Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan kali ini akan menyaksikan seluruh ahli dan pemimpin tertinggi di semua peringkat melepaskan jawatan masing-masing secara automatik bagi memberi laluan kepada pemimpin muda menerajui pertubuhan itu.

Menurutnya, Mohd. Ali akan melepaskan jawatan itu secara rasmi pada 21 Disember ini.

Katanya, sepanjang menjadi Presiden, Mohd. Ali telah berjaya memartabatkan belia di peringkat yang begitu tinggi setanding dengan beberapa pertubuhan belia dunia lain.

''Di Melaka khususnya, Gerakan Belia 4B negeri mengalami banyak perubahan hingga meletakkan golongan belia kini mula dihormati dan diiktiraf oleh semua pihak," katanya.

Mohd. Nizam berkata, sebanyak 15 jawatan tertinggi pertubuhan itu akan dipertandingkan pada mesyuarat tersebut.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts