Kestabilan sesebuah negara (pemerintahan dan pentadbirannya) itu sebenarnya terbentuk bermula dari diri setiap individu yang kemudiannya keluarganya, dan seterusnya keterlibatannya dalam kemasyarakatan, yang akhirnya menyumbang dalam pembinaan sesebuah negara tertentu tersebut.Maka, perlulah untuk kita memahami bahawa pemimpin yang baik itu asalnya sebenarnya terlahir dari masyarakat kebanyakan iaitu dari kalangan sesama kita. Jika setiap individu tidak dibina dengan keimanan dan kesolehan yang betul, bagaimana kita mahu melahirkan pemimpin yang benar-benar baik dari kelompok masyarakat tersebut? Sedangkan usaha-usaha pembinaan yang positif tidak wujud dalam diri setiap individu yang membentuk sesebuah masyarakat tersebut?
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya),
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (an-Nuur, 24: 55)
Imam Ibnu katsir rahimahullah menjelaskan,
“Dari sini kita berupaya mengetahui dan menilai akan kebenaran janji Allah dan Rasul-Nya. Maha Benar Allah dan Rasul-Nya. Kita memohon kepada Allah supaya Dia selalu melimpahkan kepada kita keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya serta kekuatan untuk mensyukurinya bersesuaian dengan apa yang diredhai-Nya.
Ar-Rabi’ bin anas telah meriwayatkan sebuah hadis yang bersumber dari Abul ‘Aliyah ketika menafsirkan firman Allah tersebut, ia berkata,
“Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabatnya tinggal di Makkah sekitar sepuluh tahun. Mereka berdakwah, menyerukan untuk beribadah kepada Allah dan menyembah Sang Khaliq Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya. Dakwah yang dilaksanakan bersifat rahsia dan secara senyap-senyap. Mereka tidak berani bertindak lebih dari itu, kerana pada ketika itu, masih belum ada perintah untuk berperang. Perintah keluar berperang hanya muncul sekitar selepas mereka berhijrah ke Madinah.
"Pada awalnya mereka merasa takut, sama ada di waktu pagi atau pun di petang hari. Mereka selalu sentiasa bersiap sedia dengan senjata. Mereka berada dalam keadaan seperti itu sehingga ke waktu yang dikehendaki oleh Allah... ...Dan Allah Subhanahu wa Ta’ala pun menurunkan ayat tersebut "(an-Nuur, 24: 55).
"Allah menjadikan Nabi-Nya mampu menguasai Jazirah arab, sehingga mereka pun merasa aman dan tidak lagi sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga (ketakutan). Kemudian setelah Allah mewafatkan Nabi-Nya, mereka tetap merasa aman di bawah pemerintahan Abu Bakar, Umar dan Ustman...” (Rujuk: Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Terbitan Pustaka Ibnu katsir, jil. 6, m/s. 431-432)
Beliau juga menjelaskan,
Adalah para Sahabat, kerana mereka merupakan kelompok (komuniti) manusia yang paling mentaati perintah Allah setelah Nabi wafat, maka kejayaan yang mereka perolehi itu adalah bersesuaian dengan (keikhlasan) mereka di dalam menegakkan kalimatullah di penjuru bumi di bahagian timur mahu pun barat. Oleh kerana itu, Allah memperkuatkan (memperkukuhkan) kejayaan mereka sekuat-kuatnya sehingga mereka berupaya menakluki pelbagai negeri lainnya dan menjadi penguasa penduduk negeri yang mereka takluki. Namun ketika umat telah mula lalai dalam menjalani ketaatan kepada Allah, maka menjadi pudarlah kejayaan umat Islam. Namun dalam sebuah hadis yang termaktub di dalam kitab Shahih al-Bukhari dan Shahih muslim, dan diriwayatkan melalui banyak jalur periwayatan, disebutkan bahawa Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
“Akan sentiasa ada segolongan dari umatku yang membela kebenaran. Tidak akan membahayakan mereka orang-orang yang menghina dan yang menyelisihi mereka, sehinggalah datang hari kiamat”.” (Hadis Riwayat muslim, 1/137) (Rujuk: Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Terbitan Pustaka Ibnu katsir, jil. 6, m/s. 436-437)
Dari sini kita dapat melihat sebuah penjelasan yang menerangkan bahawa sebuah pemerintahan yang baik (pentadbiran yang berkesan) lahir dari sebuah masyarakat yang memiliki keimanan, kesolehan dan ketaatan yang baik kepada Allah.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya),
“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi.” (al-A’raaf, 7: 96)
“Dan mengapa tidak ada (penduduk) suatu kota yang beriman, lalu imannya itu bermanfaat bagi mereka, selain kaum Yunus. Tatkala mereka (kaum Yunus itu) beriman, Kami hilangkan dari mereka azab yang menghinakan dalam kehidupan dunia, dan Kami beri kesenangan kepada mereka sehingga pada waktu yang tertentu.” (Yunus, 10: 98)
“Dan Kami utus dia (Yunus) kepada seratus ribu orang atau lebih. Lalu mereka beriman, kerana itu Kami anugerahkan kenikmatan hidup kepada mereka hingga waktu yang tertentu.” (ash-Shaffat: 147-148)
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya),
“Dan demikian kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menguasai sebahagian yang lain disebabkan apa-apa yang mereka (masyarakat) usahakan.” (al-An’am, 6: 129)
Imam Ibnu katsir rahimahullah menjelaskan (berkenaan ayat tersebut),
“Tiada orang yang zalim pun melainkan ia akan diuji dengan orang yang zalim. Dijadikan dari kalangan orang-orang yang zalim, mereka dikuasai oleh orang-orang-orang yang zalim lainnya. Sebahagian mereka dihancurkan dengan sebahagian lainnya, dan sebahagian mereka disiksa dengan sebahagian lainnya, sebagai balasan atas kezaliman mereka.” (Rujuk: Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Terbitan Pustaka Ibnu katsir, jil. 3, m/s. 430)
“Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri maka Kami perintahkan orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah), tetapi mereka melakukan kefasikan/kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sewajarnya berlaku terhadap mereka perkataan (ketentuan) Kami, kemudian kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.” (al-Isra’, 17: 16)
Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa atas sebab kefasikan dan sikap ingkar terhadap ketaatan kepada Allah akan mengakibatkan suatu masyarakat atau negeri itu dibinasakan.
Begitu juga dengan firman Allah,
“Dan (penduduk) negeri itu telah Kami binasakan ketika mereka berbuat kezaliman.” (al-Hakfi, 18: 59)
Al-Walid ath-Tharthusi rahimahullah berkata,
“Sehingga sekarang masih terdengar orang-orang berkata, “amalan-amalan kalian adalah pekerja-pekerja kalian”, sebagaimana kalian sekarang ini; maka seperti itulah kalian akan dipimpin. Di dalam al-Qur’an terdapat ayat yang semakna dengan perkara ini,
“Dan demikian kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menguasai sebahagian yang lain disebabkan apa-apa yang mereka (masyarakat) usahakan.” (al-An’am, 6: 129)
Abdul Malik bin Marwan pernah berkata,
“Wahai rakyatku! Bersikap adillah kepada kami! (Bagaimana mungkin) kalian mahukan dari diri kami sebagaimana yang dilaksanakan oleh Abu Bakar dan Umar, sedangkan kalian tidak pun mengerjakan sebagaimana apa yang mereka amalkan?!” (Siraj al-Muluk, m/s. 100-101)
Maka, dengan ini dapatlah kita mengetahui dan memahami bahawa kesolehan dan keadilan yang terpancar (lahir) pada diri pemerintah berserta cemerlangnya sesebuah pentadbiran itu sebenarnya turut bergantung kepada kesolehan, keimanan, dan keadilan dalam diri-diri masyarakatnya. Maka, atas sebab itu, kita tidak memiliki jalan lain melainkan kita masing-masing mengambil inisiatif untuk bermula melakukan perubahan ke dalam diri sendiri dan seterusnya ke dalam masyarakat di sekeliling kita. Maka, bermuhasabahlah dan berusahalah menambah ilmu, pengetahuan dan maklumat berkaitan agama bagi tujuan membersihkan diri (dan masyarakat) dari pelbagai jenis kecelaruan dan kekeliruan (kejahilan). Hanya dengannya kita mampu memperbaiki diri-diri kita, keluarga kita dan seterusnya menerapkannya ke dalam segenap ruang lingkup kehidupan kita dan mengaktifkannya bersama-sama dengan masyarakat sekeliling.
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah at-Tahrim, 66: 6)
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasehati supaya menetapi kesabaran.” (al-‘Ashr, 103: 1-3)
“Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (ar-Ra’d, 13: 11)
Maka, sebagai jalan penyelesaiannya di sini adalah kita masing-masing perlu berusaha memperbaiki diri dengan menerapkan agama berpandukan dasar-dasar yang jelas berpandukan petunjuk dari al-Qur’an dan as-Sunnah dengan tafsiran-tafsirannya yang jelas (di atas prinsip para salaf). Proses tasfiyah (pemurnian) dalam beragama (beraqidah) perlu berlaku dan pentarbiyahan pula perlu berlangsung dengan ilmu yang betul.
No comments:
Post a Comment